Thursday, January 23, 2014

Worldview Dalam Kaunseling Islam: Tingkah Laku Manusia adalah Ditentukan oleh Bagaimana Dia Melihat Masa Hadapannya

Dalam prosedur kaunseling Barat, kaunselor dikehendaki supaya menyiasat sejarah masa lampau kliennya dengan tujuan mahu membantu si klien memahami situasi dirinya sekarang. Ini kerana kaunselor perlu memahami faktor-faktor yang menyebabkan kliennya berfikiran dan bertingkah laku sebagaimana yang ada sekarang.

Dalam worldview kaunseling Barat tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog, baik secara sedar ataupun secara separa-sedar, dengan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku ke atas dirinya pada masa silam. 

Dalam prosedur kaunseling Islam, kaunselor tidak perlu menyiasat latar belakang masalah kliennya. Ini kerana kaunselor Islam tidak mementingkan apa yang sudah berlaku dalam sejarah hidup kliennya. Sebaliknya, kaunselor Islam mementingkan apa yang akan berlaku ke atas diri kliennya pada masa hadapan.

Dalam worldview kaunseling Islam, tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog dalam keadaan sedar dengan masa hadapannya. Di sini, termasuk dalam masa hadapan klien adalah dunia selepas kematiannya nanti. 

Jadi, manusia melakukan apa yang dilakukannya sekarang disebabkan oleh dialog-dialog yang dilakukannya dengan masa hadapannya. Maka, peranan kaunselor Islam adalah 'membetulkan' dialog-dialog kliennya sekarang.

Pertentangan worldview inilah yang menjadi dasar perbezaan prosedur dalam kaunseling Barat dan kaunseling Islam. Manakala kaunselor Barat menyuruh kliennya menoleh ke belakang, memahami sejarah silamnya, kaunselor Islam menyuruh kliennya memandang ke hadapan, memikirkan ke mana dia mahu tuju dalam hidupnya yang akan datang.

No comments:

Post a Comment