Thursday, January 23, 2014

Sesi Kaunseling oleh Nabi Muhammad Amat Singkat

Nabi Muhammad banyak menjalankan kerja-kerja kaunseling.

Prosedur dan teknik kaunseling yang digunakan oleh Nabi Muhammad mempunyai banyak perbezaan, malah pertentangan, dengan prosedur dan teknik kaunseling ciptaan pakar-pakar kaunseling Barat.

Salah satu perbezaan itu adalah, prosedur kaunseling Barat mengorek-ngorek sejarah rentetan peristiwa yang pernah berlaku ke atas kaunselee. Ini tidak dilakukan dalam prosedur kaunseling Nabi Muhammad.

Salah hasil penggunaan prosedur dan teknik kaunseling Nabi Muhammad adalah singkatnya tempoh masa yang diperlukan bagi menjalankan sesi kaunseling.

Dalam rekod-rekod hadith kaunseling yang dikaji, Nabi Muhammad tidak pernah memberikan kaunseling lebih daripada satu kali sesi kepada orang yang sama! Dan masa kaunseling itu juga sangat singkat. 

Meskipun sesi kaunseling Nabi Muhammad amat singkat (sekitar beberapa minit sahaja), tidak ada rekod yang menunjukkan kaunselee Nabi Muhammad datang semula dengan membawa masalah yang sama. Ini bermakna dengan sesi yang begitu singkat, Nabi Muhammad dapat membantu kaunseleenya menyelesaikan masalahnya.

Ini berbeza dengan tempoh masa kaunseling yang menggunakan prosedur dan teknik Barat, yang memakan masa lama, serta sesi dilakukan berulang-ulang kali. Dan belum tentu kaunseleenya dapat menyelesaikan masalahnya.

Worldview Dalam Kaunseling Islam: Tingkah Laku Manusia adalah Ditentukan oleh Bagaimana Dia Melihat Masa Hadapannya

Dalam prosedur kaunseling Barat, kaunselor dikehendaki supaya menyiasat sejarah masa lampau kliennya dengan tujuan mahu membantu si klien memahami situasi dirinya sekarang. Ini kerana kaunselor perlu memahami faktor-faktor yang menyebabkan kliennya berfikiran dan bertingkah laku sebagaimana yang ada sekarang.

Dalam worldview kaunseling Barat tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog, baik secara sedar ataupun secara separa-sedar, dengan peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku ke atas dirinya pada masa silam. 

Dalam prosedur kaunseling Islam, kaunselor tidak perlu menyiasat latar belakang masalah kliennya. Ini kerana kaunselor Islam tidak mementingkan apa yang sudah berlaku dalam sejarah hidup kliennya. Sebaliknya, kaunselor Islam mementingkan apa yang akan berlaku ke atas diri kliennya pada masa hadapan.

Dalam worldview kaunseling Islam, tingkah laku dan fikiran manusia ditentukan oleh bagaimana dia berdialog dalam keadaan sedar dengan masa hadapannya. Di sini, termasuk dalam masa hadapan klien adalah dunia selepas kematiannya nanti. 

Jadi, manusia melakukan apa yang dilakukannya sekarang disebabkan oleh dialog-dialog yang dilakukannya dengan masa hadapannya. Maka, peranan kaunselor Islam adalah 'membetulkan' dialog-dialog kliennya sekarang.

Pertentangan worldview inilah yang menjadi dasar perbezaan prosedur dalam kaunseling Barat dan kaunseling Islam. Manakala kaunselor Barat menyuruh kliennya menoleh ke belakang, memahami sejarah silamnya, kaunselor Islam menyuruh kliennya memandang ke hadapan, memikirkan ke mana dia mahu tuju dalam hidupnya yang akan datang.

Blog Sains Hadith Psikologi dan Aplikasinya

1. Blog Analisis Hadith Psikologi
2. Blog Teknik Motivasi Islam 
3. Blog Mendorong Pelajar Corot
4. Blog Komunikasi Interpersonal Islam 
5. Blog Team-building Islam
6. Blog Tip Bisnes Training & Trainer  
7. Blog Aplikasi Hadith Psikologi
8. Blog Analisis Linguistik Bahasa Nabi Muhammad 

Mengapa Nasihat Tidak Berkesan

Sebagai seorang ketua, Nabi Muhammad memberi nasihat kepada anak-anak buahnya. Ini bermakna tugas memberi nasihat adalah tugas hakiki keketuaan.

Rekod-rekod sejarah menunjukkan nasihat-nasihat Nabi Muhammad diterima dengan baik dan ditaati oleh anak-anak buahnya.

Nabi Muhammad memberikan nasihatnya hanya apabila diminta.

Nasihat seperti yang diberikan oleh Nabi Muhammad itu disebut 'nasihat involuntari' atau 'nasihat atas permintaan'. Nasihat yang diberikan tanpa diminta disebut 'nasihat voluntari' atau 'nasihat sukarela'.

Faktor-faktor yang boleh menyebabkan nasihat voluntari tidak berkesan adalah:

1. Kelayakan: Orang yang berasa dirinya lebih baik, lebih betul, lebih tahu, ataupun lebih pandai sahaja yang yakin dia layak menasihati orang lain. Apabila orang yang dinasihati berasa keadaan adalah sebaliknya, dia akan menolak nasihat itu.

2. Tuduhan: Di sebalik kata-kata nasihat adalah tuduhan halus bahawa si penasihat menuduh orang yang dinasihati itu bukan orang yang baik-baik.

3. Konten: Kata-kata nasihat mengandungi penilaian negatif dan kritikan terhadap orang yang dinasihati.

4. Permintaan: Nasihat itu diberikan tanpa diminta.

5. Pencerobohan ruang peribadi: Memberi nasihat yang tidak diminta adalah tingkah laku memasuki tanpa izin ruang psikologi orang lain.

6. Self-esteem: Nasihat yang tidak diminta, sama ada yang diberikan secara privasi mahupun secara terbuka, adalah menjatuhkan self-esteem orang yang dinasihati. 

7. Hukum budaya: Dalam banyak budaya, nasihat yang sopan diberikan dari-atas-ke-bawah. Sebagai contoh, orang tua boleh menasihati orang muda, tetapi tidak sebaliknya.