Monday, May 18, 2015

Pengalaman Adalah Cikgu Paling Kejam


Sekejam-kejam manusia bernama cikgu, kejam lagi pengalaman. Bila dengar je berita kekejaman cikgu, muka masih mampu tersenyum. Dalam hati terdetik, itu belum cukup kejam.

Apa bayangan kekejaman cikgu pernah kita gambarkan? Apa perbuatan cikgu yang dianggap kejam dalam mendidik anak murid? Kalau setakat rotan, berdiri atas kerusi, berjemur di tengah panas, gigit telinga, itu belum cukup kejam.

Terasa hati sangatkah ibu bapa dengan kekejaman cikgu bila cikgu suruh anaknya sapu sampah akibat membuang plastik gula-gula merata-rata? Kalau itulah definisi kekejaman seorang cikgu, masih boleh diperbetulkan lagi.

Pernah dengar cikgu bernama Pengalaman? Dia lagi kejam. Kadang-kadang dia mengajar kita dengan cara yang tak terfikir dek akal. Mengajar ilmu perniagaan tanpa belas kasihan. Sampai terduduk anak muridnya bila tersilap langkah.

Cikgu bernama Pengalaman yang mengajar subjek politik juga kejam. Dia mengajar kita sampai ada yang mati. Tengok la sejarah negara kita. Cikgu Pengalaman mengajar kita erti sebuah kemerdekaan. Tok nenek berkorban dan terkorban dalam proses pembelajaran itu. Kita kalau taknak diperlakukan oleh cikgu yang bernama Pengalaman ni, kenalah belajar bersungguh-sungguh.

Lihatlah bumi sebelah Timur. Para Cikgu sedang mengajar manusia subjek Politik. Lihatlah di barat, Cikgu Pengalaman sedang mengajar subjek Akhlak. Lihatlah di serata dunia. Cikgu Pengalaman mengajar dengan cara yang amat kejam.
Pengalaman Mengajar Erti Kedewasaan

Berhati-hatilah dengan Cikgu Pengalaman. Dia ada bersama kita setiap masa. Kita sayangi dan hargai dia. Kekejaman dia adalah satu rahmat buat kita.