Thursday, February 9, 2012

Sambutan Hari Kekasih secara Islam

1. Memadu kasih antara dua insan lelaki dan perempuan adalah antara nikmat anugerah Allah swt kepada ummat manusia. Malah kasih dan cinta yang berputik lalu berbunga dan berbuah inilah menjadikan bumi ini meriah dengan penghuninya. Namun Islam tidak menetapkan hari-hari tertentu untuk meraikannya.

2. Adam dan Hawa pernah memadu kasih. Sunnah mereka berdualah menjadi fitrah ummah yang tidak mungkin boleh dipadam. Lantas Islam dibawa datang dari tuhan yang sama dengan tuhan yang telah mencipta manusia lalu menyatukannya dengan kasih dan cinta, malah tuhan yang sama jua telah menyusun kehidupan ini dengan penuh sistematik agar cinta tidak bernoda dan kasih tidak menjadi tragedi.

3. Islam mensyariatkan institusi perkahwinan untuk meluruskan kasih dan cinta. Justeru itu, Islam mengizinkan lelaki dan perempuan saling membina perasaan, memupuk rasa kasih serta memekarkan bunga cinta antara mereka selama mana mereka tidak membiarkan syaitan dan iblis menjadi perantara yang menjerumuskan hubungan mereka ke lembah maksiat dan mungkar.

4. Anak-anak muda muslim dan muslimah boleh meraikan kekasih hati mereka terutama mereka yang telah berada diambang perkahwinan, samaada sempena hari kekasih ataupun pada hari lebaran yang lain selama mana mereka memelihara adab dan akhlak Islam. Antaranya :
a] pastikan tidak berdua-duaan, sebaliknya ditemani mahram
b] tidak mendedahkan aurat apatah lagi berpakaian seksi
c] tidak melakukan perbuatan yang dilarang agama

5. Mereka mungkin perlu bertemu pada saat-saat tertentu dengan memelihara adab dan akhlak yang telah saya nyatakan tadi, bagi mereka saling mengenali dan menyelami isi hati mereka sebagaimana mereka perlu membincangkan rancangan masa depan dan persiapan mereka menghadapi gerbang perkahwinan.

6. Namun anak-anak muda muslim perlu elakkan budaya asing dan syiar agama lain dibawa masuk mewarnai corak dan gaya kehidupan mereka. Lantaran Islam sudah lengkap dengan tatacara dan gaya hidup yang indah dan mendamaikan. Islam tidak pernah menghalang kemahuan dan keperluan manusia tetapi Islam memurnikan kemahuan dan mengurus keperluan mereka agar tidak terhindar dari redha Allah swt Tuhan yang mencipta mereka.

7. Meraikan kekasih hati tidak terhad kepada anak-anak muda yang belum berumahtangga, bahkan terlebih wajar ianya diraikan oleh pasangan yang sudah berumahtangga, samaada yang baru dibina ataupun yang sudah lama. Keraian tersebut boleh menyuburkan rasa kasih dan cinta yang sekian lama bersemi. Hubungan suami isteri bertambah intim dan keluarga kian erat. Terutama seorang pejuang, terlebih aula ia memiliki rumahtangga yang mendamaikan agar aksi di medan juang lebih berkesan.

8. Saya mengesyorkan, sempena hari kekasih ataupun apa jua nama hari lebaran yang membawa maksud serupa, diraikan dengan hadiah dan ziarah. Jika melibatkan pasangan yang belum diijab kabul, pastikan 3 adab dan akhlak yang telah saya tegaskan tadi laksanakan.

9. Tidak susahkan? hanya perlu ditemani mahram seperti adik beradik ataupun ibubapa serta berpakaian menutup aurat. Ianya untuk keselamatan anda juga. Ingat, kita hidup di zaman yang sangat terdedah kepada kemungkinan maruah kita dicalar dan diragut dengan begitu mudah dan rakus jika kita tidak mengambil langkah berhati-hati.

10. Saya ucapkan selamat meraikan kekasih hati anda dengan akhlak Islami. Semoga rumahtangga anda, samaada yang bakal dibina atau yang telah lama dibina akan senantiasa dirahmati dan diberkati Allah swt.

Friday, February 3, 2012

25 Pesanan Luqman Al-Hakim Kepada Anak-Anaknya

Pesanan #1: “Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yg bernama Takwa, isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada ALLAH.”

Pesanan #2: “Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.”

Pesanan #3: “Hai anakku, orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.”

Pesanan #4: “Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.”

Pesanan #5: “Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”

Pesanan #6: “Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.”

Pesanan #7: “Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”

Pesanan #8: “Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.”

Pesanan #9: “Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
Pesanan #10: “Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”

Pesanan #11: “Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”

Pesanan #12: “Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
Pesanan #13: “Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”

Pesanan #14: “Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”

Pesanan #15: “Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”

Pesanan #16: “Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”

Pesanan #17: “Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”

Pesanan #18: “Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”

Pesanan #19: “Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”

Pesanan #20: “Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”

Pesanan #21: “Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
Pesanan #22: “Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.”

Pesanan #23: “Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”

Pesanan #24: “Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”

Pesanan #25: “Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”