Monday, May 16, 2011

Muslim Keys Performance Index (KPI)

Manusia adalah makhluk yang paling sempurna dan paling mulia dibandingkan dengan makhluk-makhluk Allah yang lainnya.

Allah swt berfirman :

“Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah kami ciptakan.” (QS Al Isra’ : 70)

KEPENTINGAN PEMBENTUKAN KEPERIBADIAN MUSLIM

Pembentukan keperibadian muslim merupakan suatu perkara yang sangat diperhatikan dalam agama Islam.

Ini adalah kerana Islam itu sendiri bukan suatu ajaran yang hanya diyakini dan difahami semata-mata tanpa perlu diwujudkan dalam kehidupan yangnyata, tetapi Islam menyatukan dan memadukan dua perkara :
Antara keyakinan dan aplikasi.
Antara norma dan perbuatan.
Antara keimanan dan amal soleh.
Oleh sebab itulah, ajaran yang diyakini dalam Islam mestilah tercermin dalam setiap tingkah laku, perbuatan dan sikap peribadi-peribadi muslim.

Memang, setiap jiwa yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah, namun ia bukanlah bererti kesucian dari kelahiran itu menafikan usaha untuk membangun dan menjaganya.

Bahkan, justeru kerana dimulai dengan fitrah itulah, jiwa tersebut mesti dijaga dan dirawat kesuciannya dan seterusnya dibangunkan agar seseorang itu membentuk dirinya menjadi peribadi muslim yang sejati.

RUJUKAN KEPERIBADIAN MUSLIM

Al-Qur'an dan As Sunnah merupakan dua pusaka Rasulullah saw yang mesti sentiasa dirujuk oleh setiap muslim dalam segala aspek kehidupannya.

Satu dari sekian banyak aspek kehidupan yang amat penting adalah pembentukan dan pengembangan keperibadian muslim.

Peribadi muslim yang dikehendaki oleh Al-Qur'an dan As Sunnah adalah peribadi yang soleh di mana sikap, ucapan dan tindakannya diwarnai oleh nilai-nilai yang datang dari Allah swt.
Persepsi masyarakat tentang keperibadian muslim memang berbeza-beza. Bahkan banyak yang kefahamannya begitu sempit sehingga seolah-olah keperibadian muslim itu hanya tercermin pada orang yang rajin melaksanakan Islam dari aspek ubudiyah semata-mata.

Padahal itu hanyalah satu aspek sahaja dan masih banyak aspek lain yang mesti melekat kuat pada keperibadian seorang muslim. Oleh kerana itu, piawaian keperibadian muslim yang berdasarkan Al Qur'an dan As Sunnah merupakan sesuatu yang mesti dirumuskan sehingga boleh menjadi acuan bagi pembentukan keperibadian muslim.

Jika dibuat penelitian, setidak-tidaknya ada sepuluh (10) karakter atau ciri-ciri khas yang mesti ada pada sebuah keperibadian muslim.

PERTAMA : AQIDAH YANG SEJAHTERA (Salimul Aqidah)

Aqidah yang sejahtera merupakan sesuatu yang mesti wujud pada setiap muslim.
Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat dengan Allah swt.

Dengan ikatan yang kuat itu dia :

a. Tidak akan menyimpang dari jalan Allah.
b. Tidak akan melanggar segala ketentuan-ketentuanNya.

Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firmanNya :

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam." (QS Al An’ aam : 162)

Oleh kerana aqidah yang sejahtera merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam awal dakwahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah saw mengutamakan pembinaan aqidah, iman dan tauhid.

No comments:

Post a Comment