Wednesday, May 18, 2011

MEMBURU IMPIAN (artikel ini aku tulis setahun yg lalu)

Saat ini aku sedang berpraktikum di SK malangang Baru, Kiulu. Sebuah sekolah rendah yang sederhana sahaja baik dari segi fizikalnya mahupun kerenah isi sekolah tersebut. Dalam saat berpraktikum aku amat berhasrat agar keputusan yang cemerlang akan dapat diperolehi untuk memastikan ibuku bangga mempunyai anak seperti aku. Banyak perkara baru dapat aku pelajari sepanjang menjalankan latihan disekolah terutama sekali berkaitan budaya setempat kerana aku bukan berasal dari negeri ini. Maka banyak perkara yang perlu aku pelajari. Aku amat bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana telah mengizinkan aku berada didalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Pada aku proses pembelajaran adalah merupakan satu perjuangan yang akan sentiasa berterusan. Ramai orang berkata ia seperti membujur lalu melintang patah.

Ingin aku mengimbas kembali saat-saat sebelum aku memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Selepas sahaja aku bergraduan, banyak peluang yang datang kepada aku adalah peluang yang bertentangan dengan idealisme aku. Sehinggalah suatu hari aku membuat keputusan untuk bersama-sama sebuah syarikat pelaburan yang agak terkenal di Malaysia iaitu CIMB Wealth Advisors. Aku telah menjalankan latihan dia agensi syarikat berkenaan dan bayak yang telah aku pelajari tentang kehidupan. Segalanya berjalan dengan baik sehinggalah pada Jun 2008 keadaan ekonomi Negara jatuh merudum memberi impak bukan sahaja kepada diri aku. Malah ramai lagi yang bernasib hamper sama dengan aku. Setelah kesan kemelesetan begitu member kesan yang tidak baik keatas diri aku, maka aku membuat keputusan untuk berhenti danpulang kekampung.

Bermulalah episode baru dalam hidup aku apabila aku pulang ke kampung. Di kampung hanya ada ibu dan adik aku sahaja. Bermakna kepulangan aku telah menambahkan isi rumah. Tidaklah mak aku kesunyian. Walaubagaimanapun adik aku telah mendapat kerja di Kuala Lumpur. Maka aku tinggal dengan ibu dirumah. Keadaan itu menyebabkan aku berat hati mahu meninggalkan ibu seorang diri di rumah. Kerja aku hanya memohon kerja tetapi aku tidak pergi temuduga kerana kalau aku mendapat pekerjaan aku rasa tidak tenang nanti. Walau bagaimana pun aku akan mencari aktiviti yang akan dapat memenuhi masa aku dengan perkara-perkara yang berfaedah. Aku mula bergiat dalam aktiviti belia. Dengan sedikit pengalaman sebagai pemimpin semasa di university dahulu, aku telah dilantik menjadi pengerusi Biro Penerangan dan Pendidikan Persatuan Belia Talasuda. Satu harapan aku apabila menyertai persatuan belia, iaitu ingin membawa perubahan keatas mentality anak muda di tempat tinggal aku.

Apa agaknya pekerjaan aku di kampung agaknya? Semestinya ramai yang ingin mengetahuinya. Sewaktu di kampung aku rasa hidup tidak susah kerana smuanya ada. Tapi tidaklah hidup seperti orang kaya. Di kampung akun mengerjakan kebun peninggalan arwah ayah dan kebun milik ibu aku. Selain itu aku juga menjalankan perniagaan dalam menyediakan kertas kerja bagi sesiapa yang ingin memohon pinjaman perniagaan. Selain ia memberikan keuntungan kepada aku secara tidak langsung dapat membantu orang lain dalam mengembangkan perniagaan mereka. Terutama kepada mereka yang berpelajaran rendah. Aku berharap bakti yang aku berikan akan memberi pulangan kepada mereka semua. Selain itu juga aku mengambil tempahan bagi yang ingin memiliki blog sendiri dengan kadar yang bberpatutan. Kebanyakan pelanggan aku adalah dari kalangan peniaga kecil dan orang persendirian.

Sejak dahulu lagi ibu sangat menginginkan salah seorang anaknya akan menjadi seorang guru kerana tiada adik beradik aku yang menjadi guru buat masa itu. Aku masih ingat ketika mengisi borang UPU dahulu, ibu menyuruh aku memilih program pendidikan. Tetapi aku menjawab nanti dulu ibu kerana aku sangat meminati ekonomi ketika itu. Ahhhh…… tersasar jauh pula cerita aku ini. Banyak juga yang telah aku lakukan semasa berada di kampung. Aku telah membawa satu program yang sebelum ini belum pernah dijalankan di kampung aku. Program tersebut ialah Celik IT. Melalui platform persatuan belia telah menjalankan kerjasama dengan Maxis dan Kementerian Tenaga dan kominukasi bagi melaksanakan program tersebut. Peruntukan dari badan yang besar dapat memberi sedikit keuntungan bagi persatuan dan ahli persatuan. Melalui program itu, aku sebagai penyelaras telah membahagikan kepada 2 bahagian. Iaitu bahagian pelajar dan golongan tua. Tujuan utama melibatkan golongan tua adalah supaya meraka dapat merasai menggunakan teknologi. Segala keperluan telah disediakan oleh pihak Maxis.

Melalui program tersebut diharap akan membawa impak yang baik kepada penduduk kampung. Selain itu aku juga bergiat dengan NGO yang menjurus kepada kebajikan golongan miskin. Aku berasa seronok apabila dapat membantu orang lain walaupun aku tidak mendapat apa-apa faedah. Ini kerana aku percaya, setiap kebaikan yang kita lakukan Allah pasti akan membalasnya dengan kebaikan. Ibu pun aku tengok gembira dengan aktiviti harian aku. Cuma kadang kala tengok kawan-kawan yang mempunyai pekerjaan yang bagus rasa tersentak juga hati aku. Aku sering berdoa kepada Allah semoga aku dikurniakan dengan pekerjaan yang baik dan direstui oleh ibu.

Dalam menyertai profesion perguruan ini banyak didorong oleh ibu dan kakak aku. Kakak akulah yang telah membeli no pin di Bank Simpanan Nasional untuk membolehkan aku memohon KPLI. Aku telah memohon didalam opsyen Bimbingan dan Kaunseling. Asas kepada permohonan aku adalah sewaktu menjadi mahasiswa aku banyak terlibat dengan program-program motivasi yang melibatkan murid sekolah. Aku masih ingat program terlama aku adalah program Insan Bijak Utara (IBU). Dimana program tersebut mahasiswa telah memberikan kelas tambahan kepada murid SMK sintok secara percuma terutama dalam subjek matamatik dan bahasa inggeris. Itu cerita semasa aku menjadi seorang mahasiswa, kita sambung kembali kisah aku ingin memohon KPLI. Setelah aku mengisi boring secara online, maka sampailah surat untuk mengambil ujian Mtest. Aku berdoa supaya dapat melepasi ujian ini. Sebelum itu aku membuat persediaan untuk menghadapi ujian.

Keputusan Mtest pun keluar tidak lama selepas itu. Alhamdulillah aku lulus dan akan menghadapi temuduga pula selepas ini. Walaubagaimanapun aku terus mempersiapkan diri untuk menghadapi temuduga. Dalam fikiran aku tiada benda lain, melainkan jika aku layak mengikuti KPLI aku telah melakukan sesuatu yang menggembirakan ibu. Aku telah memilih Maktab Teknikal jalan Tun Razak tempat aku temuduga. Semasa temuduga aku berasa sangat tercabar kerana semua calon mempunyai ijazah dalam bidang kaunseling dan pernah berkhidmat sebagai guru sandaran tidak terlatih. Sedangkan aku memiliki ijazah ekonomi dengan CGPA yang tidak seberapa. Aku berfikiran positif, itu bukan alas an untuk aku tidak layak untuk menyertai KPLI. Selepas segala proses temuduga dijalankan aku amat berasa lega dan bertawakkal kepada Yang Maha Esa dalam menentukan nasib aku selepas ini.

Aku pulang kerumah menceritakan segala-galanya kepada ibu aku. Ibu hanya berkata insyaallah ada rezeki kamu tu…… aku tahu harapan ibu sangat tinggi, kerana sebelum aku pergi temuduga ibu telah mencium dahi aku. Selalunya ibu hanya mencium pipi aku sahaja sebelum kemana-mana. Reaksi ibu membuatkan aku sangat bersemangat. Seperti biasa aku melakukan rutin aku di kampung tanpa ada tekanan dari mana-mana pihak. Aku bergaul dengan masyarakat setempat dengan baik memandangkan arwah ayah dahulu sangat dihormati di kampung. Maka aku perlu meneruskan supaya keluarga aku sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat setempat dan aku ingin menjadi contoh kepada anak muda yang lain.

Selang beberapa minggu maka keluarlah keputusan temeduga yang telah aku lalui. Semakan melalui online di website yang telah disediakan. Malang nasib aku kerana tidak layak untuk mengikuti KPLI. Dalam keadaan yang kecewa aku terus mengambil handphne aku dan mendail nombor ibu. Aku harap ibu tidak kecewa. Aku menjelaskan keputusan temuduga, ibu hanya menyatakan tidak mengapa dan menenangkan aku. Aku menyambung kembali rutin aku di kampung. Sehinggalah suatu petang yang amat aneh bagi aku. Kebiasaannya pada waktu petang aku tidak tahu melekat di rumah. Tetapai petang itu aku di kuncungi oleh pakcik dari Pulau Pangkor. Tiba-tiba aku mendapat panggilan daripada kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa aku dapat mengikuti program KPLI. Gembiranya tidak terkata sehingga aku mengalirkan air mata. Aku terus berlari kebilik dan melakukan sujud syukur keatas berita gembira ini.

Ibu masih belum mengetahui tentang berita gembira ini kerana sibuk melayan tetamu yang hadir. Apabila pak cik aku pulang aku menyampaikan berita gembira ini dan ibu pun mengalirkan air mata kegembiraan. Ibu bertanya, maktab man? Aku menyatakan maktan Kent, entah dimanakan tempatnya maktab ini. Nama semacam di luar Negara sahaja. Rupa-rupanya di Sabah. Aku sekali lagi berfikir, jauh tu. Ibu akan aku tinggalkan keseorangan kerana aku tidak mengharapkan abang-abang yang ada. Pening aku memikirkan lokasi maktab yang jauh sebegitu. Maklumla duit tabungan aku semacam tidak mencukupi. Dengan beranikan diri sahaja aku terus menempak tiket kapal terbang ke Kota Kinabalu. Bermacam-macam bermain difikiran aku kerana panggil untuk ke maktab hanya member tempoh 2 hari sahaja. Maka persiapan ala kadar sahaja yang dapat aku persiapkan.

Esok merupakan hari penerbangan aku ke Kota kinabalu. Malam itu mata aku tidak dapat dilelapkan kerana akan berjauhan dengan ibu. Agak lama aku menemankan ibu di rumah, pastinya ibu akan terasa kehilangan aku. Air mata ini secara terus mengalir walaupun aku cuba untuk menahannya. Pada keesokkan paginya aku telah berlepas….. habis seluruh muka ibu aku cium sebelum pergi dan meminta ibu mendoakan aku dan memberi restu kepada aku. Aku menahan air mata supaya ibu tidak berasa sedih. Sedih bagaimanapun, pemergian aku sebenarnya adalah perkara yang menggembirakan ibu. Aku sentiasa berdoa supaya ibu sentiasa gembira dan sihat sejahtera sepanjang ketiadaan aku. Setiba sahaja di maktab aku telah mejalani proses pendaftaran dan secara rasminya aku menjadi guru pelatih di Institut Perguruan kampus Kent, Tuaran Sabah. Tidak dinafikan pelbagai cabaran baru akan bermula terutama kewangan kerana aku bukan anak seorang jutawan. Akan aku hadapi hari-hari mendatang dengan penuh sabar dan Allah akan membantu aku.

Begitulah secara ringkas cerita tentang aku memburu impian yang banyak memberi manfaat kepada diri aku dan juga diri orang lain terutama insan bernama ibu. Dikesempatan ini aku ingan mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu iaitu Pn. Ainun Bt Mohamed Amin dan kakak aku iaitu Suzana Binti Mohd Shafawi. Jasa mereka tidak dapat aku balas. Tidak lupa juga kepada Arwah ayah iaitu Mohd Shafawi B. Ibrahim yang telah banyak berkorban untuk aku hingga aku berada di tahap ini. Aku tahui jika ayah masih ada ketika ini beliau juga akan berbangga kerana anaknya akan bakal menjadi seorang yang bergelar guru. Selain itu jutaan penghargaan dan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang pernah terlibat didalam kisah hidup aku samaada yang masih hidup atau pun yang sudah pergi. Hanya Allah yang dapat membalas jasa-jasa yang telah ditabur kepada aku.

No comments:

Post a Comment