Sunday, August 16, 2009

Khutbah Rasulullah S.A.W menjelang Ramadhan


“Wahai manusia! Sudah datang kepada kalian bulan agung, bulan penuh berkat, bulan dalamnya ada malam yang lebih baik daripada seribu bulan. “Allah mewajibkan kepada kamu ibadat puasa dan menghidupkan malam harinya sebagai amalan tambahan (sunat). Sesiapa yang pada Ramadan mendekatkan diri dengan amalan sunat, maka ganjarannya seperti orang melakukan amalan wajib pada bulan lain. “Dan sesiapa yang melakukan satu amalan wajib pada bulan ini, maka balasannya seperti orang yang melakukan 70 amalan wajib pada bulan lain. Bulan Ramadan adalah bulan sabar dan pahala kesabarannya adalah syurga.

“Bulan di mana wujudnya semangat tolong menolong dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa, maka diampuni dosanya, dibebaskan daripada api neraka dan mendapat pahala seperti pahala orang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun.”

Sahabat berkata: “Ya Rasulullah, kami semua bukanlah orang yang ada sesuatu untuk menjamu orang yang berpuasa.”Sabda Baginda: “Allah akan memberikan pahala itu kepada sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa untuk berbuka puasa sama ada dengan sebiji kurma atau segelas air sejuk atau dengan sedikit susu yang bercampur air.

“Ramadan juga ialah bulan yang awalnya dipenuhi dengan rahmat, pertengahannya dipenuhi dengan keampunan dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus daripada api neraka.

“Sesiapa yang meringankan beban kerja orang gajinya dalam Ramadan akan diampunkan Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.“Hendaklah kamu memperbanyakkan mengerjakan empat perkara dalam bulan Ramadan iaitu dua perkara dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi kamu sangat perlukan.

“Dua perkara yang dilakukan untuk mendapat keredaan Tuhan kamu itu ialah pertama, mengucapkan Lailahillallah (tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah) dan kedua, mengucapkan istighfar (memohon ampun) kepada Allah.

“Dua perkara lagi yang sangat kamu perlukan itu ialah pertama, perbanyakkan memohon kepada Allah supaya dimasukkan kamu ke dalam syurga dan kedua, kamu berlindung daripada-Nya azab api neraka.

“Selain itu, sesiapa yang memberi minum seseorang yang berpuasa (ketika berbuka puasa), Allah akan memberi minum kepadanya dari kolam aku (Kolam al-Kauthar) dengan sekali minum saja yang menjadikan dia tidak akan berasa dahaga selama-lamanya hingga dia masuk ke dalam syurga.” – (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

No comments:

Post a Comment