Tuesday, April 22, 2014

Esei oh esei...... kearah yang terbaik

Bimbingan dan kaunseling merupakan dua perkara yang mempunyai maksud yang hampir sama. Dalam bahasa yang mudah, bimbingan bermaksud murid membuat keputusan atau penyelesaian masalah dengan dipengaruhi atau dicadangkan oleh guru. Manakala kaunseling pula adalah keputusan atau penyelesaian masalah dibuat oleh murid sendiri setelah guru merasionalkan segala kemungkinan jalan penyelesaian. Bimbingan dan kaunseling juga merupakan proses pendidikan, iaitu proses yang dirancang dan berterusan. Murid dididik mempelajari pengalaman, nilai, sikap dan tingkahlaku yang sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Kebanyakan guru pada masa kini menganggap bimbingan dan kaunseling tiada perbezaan.
Bimbingan dan kaunseling dapat membantu murid-murid untuk membantu diri mereka bagi memperkembangkan potensi mereka secara optimum dengan menggunakan peluang maksima yang dibekalkan oleh persekitaran. Di SK taman Jana, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dijana secara maksima bagi mencipta peluang bagi murid meningkatkan nilai tambah masing-masing. Sebagai seorang kaunselor di sekolah rendah, saya berperanan menyelaras aktiviti bimbingan dan kaunseling dengan disokong bantu oleh aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Disamping menjalankan tugas sebagai kaunselor di sekolah, sumbangan juga diberikan kepada pencapaian prestasi sekolah dengan penglibatan diri dalam aktiviti kokurikulum dan ko-akademik.

            Perkhidmatan yang diberi kepada murid bagi mendapatkan peluang pertolongan khidmat bimbingan dan kaunseling ini tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka berhak mendapat pertolongan ini apabila mereka perlu terutama dalam masa-masa menuju proses perkembangannya. Mereka dilayan untuk perkembangan potensi dan kebolehannya supaya berkembang dengan kadar yang sepatutnya mengikut tahap-tahap yang sepatutnya.      Murid akan dibantu memahami dirinya, diri orang lain dengan mendalam dan menerokai tujuan hidupnya. Di samping menolong mereka memilih serta merancangkan hidupnya dengan berkesan dengan berorientasikan masa depan dan masa kini. Oleh itu pelajar akan tegas diri, boleh menyesuaikan diri serta memahami implikasi tindak-tanduknya masa kini dan masa hadapan. Para pelajar diharap akan menyedari kelemahannya dan kemudian dibantu mengukuhkan kekuatan-kekuatan kendirinya melalui aktiviti pencegahan.
Bimbingan dan kauseling jenis akademik  memandu murid untuk mengetahui dan memahami kemahiran belajar yang meliputi kemahiran membaca dan mengambil nota, pengurusan masa,pengurusan diri,kemahiran mendengar, kemahiran mengingat, mengulangkaji, menjawab soalan peperiksaan dan menghadapi peperiksaan.
Unit bimbingan dan kaunseling juga mengumpul dan memberikan maklumat berkenaan peluang melanjutkan diri selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Informasi  ini amat perlu agar murid mendapat maklumat tentang ke mana hala tuju mereka selepas melepasi tahap-tahap tertentu dan syarat-syarat untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara, SMK Agama, Sekolah Kawalan, Sekolah Rancangan Khas dan penempatan lain bagi murid yang tidak berjaya mendapat tempat ke sekolah yang berstatus terbaik sebagai alternatif bagi mereka yang tidak layak dan lain-lain peluang untuk murid melanjutkan pelajaran samaada intitusi peringkat persekutuan atau negeri.
Bimbingan dan kaunseling juga berperanan dalam meningkatkan motivasi murid untuk terus belajar dan berjaya dalam pelajaran. Program kesedaran diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran rasa kebertanggungjawapan pelajar terhadap kejayaan mereka sendiri. Sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kemahiran murid maka mereka akan didedahkan dengan beberapa ujian personaliti yang bertujuan untuk mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Kemahiran lain yang diajar kepada pelajar adalah mengurus diri, membina matlamat diri, mengenal pasti sumber belajar dan kemahiran belajar. Pada 2014 juga telah dijalankan soal selidik masalah murid khas untuk tahap 2. Soal selidik merangkumi 4 bahagian iaitu a) masalah terhadap diri sendiri, b) masalah dengan rakan, c) masalah dengan guru dan d) masalah dengan keluarga. Soal selidik ini bertujuan untuk mendapatkan data bahagian mana yang dianggap masalah utama murid.
Di samping itu, bimbingan dan kaunseling mendedahkan murid kepada kemahiran belajar seperti kemahiran membaca,membuat rujukan, pengurusan masa, mencatat nota, memberikan konsentrasi, mendengar, mengingat, mengulang dan ulangkaji kumpulan belajar. Bimbingan kelompok besar ini dilaksanakan menggunakan modul yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Perak. Waktu kelas ganti digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan modul dan senarai semak modul mengikut tahun digunakan bagi mengelak pengulangan tajuk.
Seterusnya peranan, bimbingan dan kaunseling dalam  bidang kerjaya pula memerlukan kaunselor untuk membantu murid dalam membuat pemilihan cita-cita terhadap kerjaya pilihan secara pendedahan melalui pengumpulan maklumat kerjaya yang dilakukan oleh murid. Antara program yang dijalankan adalah Eksporasi Kejaya dimana murid dibawa melawat dan menjalankan aktiviti ke Kidzania. Di Kidzania murid dapat mengumpul maklumat tentang kerjaya pilihan disamping merasai sendiri melalui simulasi yang disediakan. Aktiviti juga merangkumi bagaimana untuk menguruskan kewangan. Terdapat lebih daripada 90 aktiviti disediakan dan murid bebas memilih mengikut minat masing-masing. Bagi bimbingan kelompok besar Modul bimbingan bidang kerjaya dijalankan didalam kelas untuk pengisian kelas ganti. Bimbingan dan Kaunseling juga dipertanggungjawabkan utuk memastikan murid tahun 6 mendapat maklumat untuk beralih ke sekolah menengah. Apa yang dilaksanakan seperti tahun-tahun sebelum ini adalah memastikan setiap murid mendapat peluang yang sama untuk memohon secara atas talian ke sekolah berasrama penuh, rancangan khas, aliran agama atau sekolah kawalan.
Bimbingan dan kaunseling bertanggungjawab untuk membantu murid bagi meningkatkan ‘self esteem’ ,kerohanian, pengurusan tekanan, kemahiran komunikasi, kemahiran asertif yang boleh dilakukan melalui bimbingan kerjaya, penyertaan pelajar dalam kem jati diri, kem motivasi, perkhemahan badan beruniform dan konsultasi ibubapa. Semua aktiviti yang dilakukan bertujuan untuk meningkatkan kendiri dan sosial murid serta meningkatkan tahap kesejahteraan mental murid agar dapat menyeimbangkan antara tuntutan kehidupan dan tuntutan untuk meneruskan pembelajaran di sekolah mahupun diperingkat menengah rendah kelak.
Bimbingan dan kaunseling juga membantu dan membimbing murid dalam menyelesaikan masalah diri sendiri dengan cara dan kaedah sendiri mengikut panduan yang telah diperbincangkan .Dalam hal ini ,para pelajar dibantu serta dibimbing bagaimana untuk menyelasaikan masalah diri sama ada yang berpunca dari diri sendiri atau pun persekitaran. Dalam hal memberi bantuan dan bimbingan ini, kaedah tertentu yang difikirkan perlu akan diberikan kepada pelajar agar mereka  dapat membebaskan dirinya daripada belenggu masalah yang dihadapinya. Kaedah yang diberikan tersebut pada dasarnya adalah mengikut kehendak dan keperluan pelajar yang memerlukannya kerana segala tindakan yang bakal dilakukan adalah tanggungjawab pelajar sendiri. Antara kaedah yang paling kerap digunakan ialah Client Centre, Behaviorism Theory, dan PAC (Parent, Adult, Child).
Kemahiran asas bimbingan dan kauseling ialah komunikasi interpersonal yang berlaku di antara klien dan kaunselor. Kemahiran interpersonal didefinisikan sebagai keupayaan untuk berinteraksi dengan orang lain dan memahami mereka. Kemahiran asas  ini didedahkan kepada Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah. Amat beruntung kerana di SK Taman Jana PRS telah dimasukkan kedalam sub-kokurikulum, Walaubagaimanapun kaunselor tidak mempunyai autoriti memilih murid menyebabkan kualiti murid PRS kadang kala tidak memenuhi keperluan. Antara kemahiran yang didedahkan adalah keupayaan untuk menerima perasaan dan idea, bertanya soalan,  menyampaikan maklumat, empati terhadap murid yang lemah, penerimaan tanpa syarat, dorongan minima, dan kecindan.
Besar harapan dan wawasan saya sebagai seorang pendidik yang bergelar Guru Bimbingan dan Kaunseling ingin melihat dua perkara iaitu, pertama ialah kembalinya kegemilangan guru-guru di era pra merdeka dan pasca merdeka. Perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan dengan guru-guru diabad ke 21 masa kini atau generasi Y. Perkara yang paling menarik perhatian adalah guru dan masyarakat. Pada pengamatan saya guru pada masa kini mempunyai jurang yang tersendiri dengan masyarakat. Jika dilihat pada sejarah, guru pada era pra merdeka dan pasca merdeka amat senonim dan dekat dengan masyarakat. Apa sahaja bidang atau pengkhususan seorang guru itu, tanggungjawab terhadap masyarakat perlu diambil berat. Guru merupakan agen atau medium perubahan kepada masyarakat, apabila satu medium ini tidak berfungsi secara sempurna maka pembentukan sebuah negara maju akan terkesan. Ini juga akan mengakibatkan pemerkasaan profesion keguruan terbantut disebabkan oleh guru itu sendiri dan persepsi masyarakat menganggap “GURU” adalah menjadi perkataan yang “BIASA” bukannya perkataan “LUAR BIASA”.
Kedua pula adalah kemenjadian murid yang tulen iaitu keseimbangan kecemerlangan diantara akademik dan juga agama. Tanggungjawab ini begitu besar memerlukan penglibatan secara holistik semua entiti didalam sebuah institusi pendidikan. Bukan hanya bergantung atau menyerahkan bulat-bulat kepada mana-mana unit untuk memastikan kemenjadian murid terjadi. Keadaan dunia yang semakin kejam dan persaingan yang amat tinggi memerlukan penyediaan yang lengkap kepada murid untuk menghadapi dunia pada masa akan datang. Besar juga harapan saya agar esei ini akan dapat menjadi pencetus kepada kesinambungan kerjaya sebagai Guru Bimbingan dan Kunseling dalam membentuk masyarakat akan datang dan secara tidak langsung pemimpin Negara pada masa hadapan.



(1,273 p.p)

No comments:

Post a Comment